MIRI: Sarawak Oil Palms Berhad (SOPB) menyasarkan 100 peratus pencapaian standard Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) untuk semua estet, kilang pemprosesan dan loji penapisan di seluruh Sarawak pada penghujung tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SOPB Paul Wong Hee Kwong berkata, sehingga kini 50 peratus aset mendapat pengiktirafan sijil tersebut daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MOPB) bagi penghasilan minyak sawit lestari mesra alam sekitar dan menguntungkan.

“Keluasan keseluruhan tanaman sawit kita ialah 63,500 hektar. Sekarang 50 peratus telah diiktiraf MSPO. Pada penghujung tahun 2017, 100 peratus akan diiktiraf sijil ini. Ini termasuk ladang, kilang, loji penapisan dan loji biodiesel. Inilah komitmen kita, “ jelas beliau kepada pemberita selepas majlis menandatangani ikrar komitmen MSPO di Hotel Imperial semalam.

Ikrar turut ditandatangani oleh ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Ketua Pegawai Operasi SOPB Eric Kiu Kwong Seng dan Pengurus Kanan Pengurusan Perladangan MPOCC, Chong Wei Kwang.

Paul memberitahu, SOPB merupakan syarikat pertama di Sarawak dan syarikat perintis yang komited memperjuangkan MSPO dikawal selia oleh Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

Beliau menambah, selain MSPO, syarikat juga telah mendapat pengiktirafan Sijil Karbon dan Lestari Antarabangsa (ISCC).

Penyelidik Kanan MPOB, Dr Ainie Kuntom berkata, kerajaan menerusi MPOB menyediakan dana berjumlah RM50 juta untuk membantu pekebun kecil sawit di seluruh negara mendapat pensijilan MSPO.

“Dana ini disedia khas pensijilan. Kita mahu menjadikan pekebun ini lebih lestari agar hasil tanaman mencapai piawaian sebelum diproses di kilang, “ jelas beliau.

Beliau memberitahu, beberapa kumpulan pekebun kecil sawit di Serian dan Selangau memanfaatkan dana tersebut dan usaha diperluas bagi menggalak pekebun kecil di kawasan lain untuk membuat permohonan.

Selain pensijilan, dana juga untuk pemohon membina almari kabinet penyimpanan racun dan bahan-bahan kimia.

Tahun ini, MPOB telah membeli kabinet penyimpanan kimia serta mengagihkan peralatan perlindungan untuk pekebun-pekebun kecil sawit.

“Kita juga telah menjelaskan bayaran pensijilan kepada kawasan dikenal pasti untuk MSPO merangkumi Sabah dan Semenanjung Malaysia, “ tambah Ainie.

Kepada pekebun kecil, mereka digalak membentuk kumpulan dan melantik seorang ahli sebagai pengurus untuk permohonan dana pensijilan MSPO.

Mereka juga boleh melantik pengedar atau pengurus kilang pemprosesan sebagai pengurus agar hasil tanaman mereka diiktiraf MSPO sebelum dipasarkan.

Sumber: The Borneo Post Online – http://www.theborneopost.com/2016/09/24/sopb-sasar-100-peratus-pencapaian-mspo-seluruh-swak-penghujung-2017/