KUALA LUMPUR: Empat syarikat dan dua pekebun kecil berjaya menepati keperluan kemampanan seperti termaktub dalam skim pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

Syarikat yang berjaya adalah Sarawak Oil Palms Berhad; Genting Plantations Berhad; Asia Oil Palm Sdn Bhd dan Tradewinds Plantation Berhad. Sementara itu dua pekebun kecil daripada Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) turut menepati keperluan kemampanan MSPO.

Sarawak Oil Palms Berhad berjaya mendapat pensijilan untuk estet ( Sungai Balim Estate) dan kilang (Galasah Palm Oil Mill). Genting Plantations Berhad untuk estetnya (Genting Sabapalm Estate) dan kilang (Genting Sabapalm Oil Mill); Asia Oil Palm Sdn Berhad untuk estet (Asia Oil Palm Estate 20 dan kilang (Asia Palm Oil Mill); dan Tradewinds Plantation Berhad untuk estetnya (Ulu Sebol B Estate) dan kilangnya (Ulu Sebol Palm Oil Mill).

SPOC Kuala Langat dan SPOC Hilir Perak mendapat pensijilan MSPO untuk kategori pekebun kecil.

Sijil disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi ( MPIC), Datuk Himmat Singh selepas perasmian Palm Oil Economic Review and Outlook Seminar 2015 di sini, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi MPOB, Dato’ Ar. Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Choo Yuen May.

Dalam teks ucapan perasmian Palm Oil Economic Review and Outlook Seminar 2015, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata MSPO merupakan satu penyelesaian kepada isu kemampanan minyak sawit dan akan menjadi satu bentuk penjenamaan untuk minyak sawit Malaysia.

“Kita yakin MSPO akan dapat menggambarkan minyak sawit Malaysia dalam satu imej yang sangat positif serta memantapkan lagi capaian pasaran di negara pengimport yang memerlukan pensijilan,” tambah beliau. Ucapan beliau disampaikan oleh Datuk Himmat Singh.

Kerajaan telah meluluskan pelaksanaan sistem pensijilan MSPO pada 21 Mac 2014. Penubuhan MSPO adalah berikutan keperluan industri kepada satu sistem pensijilan kemampanan adil untuk meningkatkan lagi akses pasaran.

Pensijilan MSPO merupakan satu pilihan lain di samping skim sedia ada termasuk International Sustainability and Carbon Certification (ISCC); Roundtable on Sustainable Biomaterials (RSB); Indonesian Sustainable Palm Oil (ISPO); dan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO).

MSPO — MS 2530: 2013 Bahagian 1 sehingga 4 – meliputi keperluan am untuk kriteria kemampanan yang perlu dipatuhi oleh industri sawit. Keperluan am ini meliputi pekebun kecil, estet dan kilang minyak sawit.

Prinsip dan kriteria MSPO dibentuk untuk mengatasi kekangan serta mencerminkan keadaan tempatan memandangkan aktiviti penanaman dan kaedah proses adalah berbeza mengikut keadaan geografi.

Utusan Borneo, 27 Feb 2015

  • Oleh Fadzil Ghazali (afadzilg@mpob.gov.my)

http://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo/20150227/282136404863759/TextView